S. SUBRAMANIAM
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kesan kejatuhan nilai ringgit itu bagaimanapun tidak berlaku dalam masa terdekat kerana masih terdapat bekalan ubat sedia ada yang telah dibeli dengan harga lama.
Jelas beliau, walaupun harga ubat generik akan naik, tetapi kadarnya tidak begitu tinggi kerana pembuatannya adalah di kilang-kilang dalam negara.
“Selain itu, peralatan pun ada isu juga, perkara ini adalah sesuatu yang di luar kawalan kita kerana kemerosotan nilai ringgit ini.
“Tetapi kenaikan itu adalah untuk sektor swasta, di sektor kerajaan kos akan naik untuk kerajaan bukan untuk pesakit tetapi kesan yang mungkin berlaku adalah pesakit di sektor swasta akan berpindah ke sektor awam, itu kemungkinan yang akan berlaku dan kita perlu bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Makan Malam Tahunan ke-33 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Bandar Hilir di sini malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, sistem kesihatan di negara ini akan mengalami beberapa aspek transformasi termasuk pengukuhan sistem perkhidmatan primer kesihatan, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta memperkasakan pengguna dalam menentukan taraf kesihatan mereka.
Katanya, pengukuhan sistem perkhidmatan primer akan membawa manfaat kepada negara dan pesakit terutama pengurangan kos penyampaian perkhidmatan secara keseluruhan serta mengurangkan ke­sesakan di hospital.
Kata Subramaniam, penggunaan ICT dalam perkhidmatan kesihatan adalah selaras dengan pembangunan teknologi maklumat sedia ada.
“Perkhidmatan kesihatan akan menjalankan satu integrasi melalui sistem teknologi maklumat dan integrasi ini akan menyumbang kepada kecekapan yang lebih tinggi kepada penyampaian,” katanya.